Tuesday, June 27, 2017

Hotel Seri Malaysia Rompin

Hotel Seri Malaysia Rompin terletak di Kampung Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang. Kami menginap di hotel ni sebab kami nak pergi ke Pulau Tioman. Feri ke Pulau Tioman bergerak pukul 9 pagi dan 2 petang. Kami nak naik feri pukul 9 pagi sebab menurut agen pelancongan yang kami hubungi, kalau naik feri pukul 2 petang, sampai dalam pukul 4 petang, jadi dah tak ada apa sangat yang nak dibuat pada hari pertama tu. Jadi kami pun nak naik feri pukul 9 pagi supaya pada hari pertama kami di Tioman nanti banyak yang kami boleh buat. Oleh kerana kami datang dari Petaling Jaya, jadi kami rasa tak sempat untuk naik feri pukul 9 pagi tu kalau bertolak terus dari Petaling Jaya. Jadi itulah hasrat kami yang sebenarnya, bermalam di hotel Seri Malaysia hanya supaya esok paginya senang kami naik feri ke pulau Tioman pada pukul 9 pagi. Kira macam transit saja hotel ni.

Kami tempah pakej tiga orang sebilik, ada dua katil iaitu Queen dan single, untuk satu malam, RM233 termasuk service tax dan GST. Kami bayar secara atas talian melalui agoda.com.

Hotel Seri Malaysia ini.. rasanya sama macam hotel Seri Malaysia yang kami pernah menginap di Taiping, Kulim, Temerloh, Bagan Lalang, Ipoh - bangunan kayu berbentuk rumah, dan parkir percuma di luar bangunan. Pakej kami tiada sarapan pagi. Menurut kata adik di kaunter tu, kalau booking online melalui agoda.com memang tak ada sarapan pagi. Oh, begitu rupanya. Jadi keesokan paginya pagi bayar sendiri untuk sarapan pagi di hotel. Seorang RM15.

Menu sarapan pagi ada mihun goreng, nasi lemak dengan sambal yang sedap, ada minuman panas dan sejuk. Tiada kueh. Ada dua orang sahaja pekerja yang melayan kami di dewan makan. Merekalah yang jaga kaunter, kemas-kemas meja, dan jaga makanan. Mungkin kerana pekerja lain masih bercuti hari raya agaknya.

Hotel ni staf di kaunter tidak nampak pro tapi peramah dan melayan pelanggan dengan baik. Mereka juga cukup berinfomatif. Mereka beri perangan yang baik dan memuaskan tentang tempat-tempat makan di situ dan tentang Jeti Kampong Gemok.

Lantai bilik ialah parket. Jadi tak sejuk sangat tapak kaki. Ada tv flat-screen, ada alat pendingin hawa yang boleh dikawal suhunya, ada set minuman, ada seterika. Ada wi-fi percuma yang boleh tahan laju.

Kami sampai di Tanjung Gemok waktu malam, lebih kurang pukul 10 malam. Jadi lepas sahaja check-in, kami tak masuk bilik lagi tapi terus cari kedai makan. Kami jalan kaki keluar kawasan hotel. Hotel ni terletak di tepi jalan. Di seberang jalan tu kami lihat ada beberapa kedai makan, dan dua kedai runcit yang tak berapa ada barang.

Pada waktu malam tu kami tak explore sangat kawasan tu. Pertamanya sebab kami letih (perjalanan empat jam lebih kurang) dan keduanya sebab malam jadi tak berapa nampak apa lagi yang ada di sekitar kawasan tu. Rupa-rupanya pada waktu siang baru kami nampak yang ada banyak kedai makan di kawasan itu.

Dari hotel Seri Malaysia nak ke Jeti Kampung Gemok tu dekat sahaja. Kalau jalan kaki pun dalam lebih kurang lima minit sahaja. Kalau guna kereta, keluar dari perkarangan hotel, belok kiri, dan akan jumpa terminal feri Kampong Gemok sebelum jambatan. Kalau dah melintasi jambatan tu kami akan menjejak kami ke Johor. Sungai Endau tu adalah sempadan pemisah antara Pahang dan Johor.

Ada satu tempat makan yang best iaitu Restoren Nusantara. Kalau dari hotel Seri Malaysia tu belok kiri, terus melintasi jambatan Sungai Endau, masuk ke pekan Endau, nanti jumpa Caltex di sebelah kiri dan restoran tu di sebelah kanan. Ada papan tanda besar so memang susah nak miss. Servis cepat, menu banyak dan best. Murah pula.


Dari kawasan parkir nampak macam pejabat kerajaan saja.


Selain dari berehat, kegunaan dua kerusi tu ialah untuk sangkut tuala mandi :)


Dewan makan.

No comments:

Post a Comment